KUALA LUMPUR, 6 MEI 2024 – Pelumba muda negara, Danial Syahmi memanjat satu anak tangga lagi dalam kariernya selepas berjaya mencatatkan keputusan terbaiknya sepanjang tiga tahun penglibatan dalam FIM JuniorGP World Championship (JuniorGP).
Danial Syahmi yang berlumba untuk pasukan Asia Talent Team, menduduki tempat ke-5, ketinggalan +0.004 di belakang Alessandro Morosi yang menduduki tempat ke-4 dalam perlumbaan pusingan ke-2 JuniorGP yang berlangsung di Litar Estoril, Portugal, hujung minggu lalu.
“Pada permulaan saya bermula agak bagus, cuma semasa pertengahan perlumbaan saya kurang bagus sebab saya tak dapat ikut pace pelumba depan. Saya hampir tamatkan perlumbaan di P4, tapi saya tidak dapat melepasi pelumba depan saya dengan jarak +0.004. Namun, saya gembira saya dapat kumpul mata yang baik minggu ini,” kata Danial Syahmi.
Sementara itu, seorang lagi pelumba negara, Hakim Danish yang berlumba untuk SIC Racing – Msi berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ke-16 dalam saingan yang sama. Hakim yang berdepan kesukaran dengan keadaan litar yang separuh basah dan separuh kering, mengakui kesilapannya dalam mengawal jentera sehingga terlajak keluar dari litar.
“Pada permulaan, saya bermula dengan baik di petak ke-30 dan saya memintas 22 pelumba dalam lap pertama, menempatkan saya di tempat ke-8 buat seketika. Kemudian, saya brek di white line dan ketika itu permukaan white line dalam keadaan basah lalu saya terlajak keluar dan terlepas banyak posisi ke P24. Saya cuba untuk kejar kelompok hadapan dan memintas satu demi satu dan saya tamatkan perlumban di P15. Semasa dalam perlumbaan, kondisi litar adalah sedikit basah dan sedikit kering, dan saya dah cuba sehabis baik saya. Minggu ini agak struggle bagi saya. Tapi, saya dapat adapt dan improve sesi demi sesi,” kata Hakim Danish.
“Untuk Danial, keputusan yang hebat selepas sesi latihan yang sukar pada hari Khamis & Jumaat. Untuk Danish, saya tidak gembira dengan kesilapan yang berlaku pada minggu ini. Kami ada potensi, ada kelajuan, tetapi perlu lebih tenang dalam setiap situasi yang dihadapi terutamanya semasa perlumbaan supaya tidak melakukan kesilapan kecil ini,” kata Zulfahmi Khairuddin, Pengurus Pasukan ZK Racing.
Ketika ini, Danial Syahmi menduduki tempat ke-9 secara keseluruhan dengan 17 mata, manakala Hakim Danish berada di tempat ke-16 dengan 9 mata. Selepas ini, mereka akan bersaing di Catalunya untuk pusingan ke-3 saingan JuniorGP.