Faris Zolkefli

MAG DAN KBS JALIN KERJASAMA TINGKAT KECEMERLANGAN SUKAN

MAG DAN KBS JALIN KERJASAMA TINGKAT KECEMERLANGAN SUKAN

May 7, 2024 6:00 am

KUALA LUMPUR, 7 MEI 2024 – Malaysia Aviation Group (MAG) hari ini mengumumkan kerjasama strategik bersama Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS), khusus untuk memajukan inisiatif pembangunan sukan di seluruh negara, sekali gus menekankan komitmen MAG terhadap inovasi dan memupuk penglibatan masyarakat melalui promosi sukan.

Inisiatif ini direka bagi menyelaraskan pengaturan perjalanan untuk atlet KBS, meningkatkan usaha promosi dan memupuk pengiktirafan yang lebih besar terhadap pencapaian sukan. MAG akan menerajui pembangunan portal yang disesuaikan dengan keperluan khusus atlet dan persatuan sukan yang bekerjasama dengan KBS, dan memudahkan tempahan dan pengaturan perjalanan yang lancar.

Selain itu, kedua-dua entiti akan meneroka peluang penjenamaan untuk memaksimumkan keterlihatan dan penglibatan di acara yang dibenarkan KBS, bertujuan untuk meningkatkan profil Malaysia sebagai destinasi sukan di pentas global.

“Melalui kerjasama strategik dengan KBS, kami mengesahkan komitmen kami dalam menyokong kecemerlangan sukan dan memupuk bakat ahli sukan negara dengan menyediakan portal layan diri yang boleh digunakan oleh ahli sukan dan kakitangan di bawah kendalian KBS.

“Inisiatif ini bukan sahaja menunjukkan dedikasi berterusan kami untuk memajukan pembangunan sukan tetapi juga menyerlahkan kepercayaan kami terhadap kuasa transformatif keriasama,” kata Datuk Kapten Izham Ismail, Pengarah Urusan Kumpulan MAG.

Program MHsports yang disediakan khusus untuk KBS menawarkan faedah eksklusif kepada mereka yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung termasuk ahli sukan, jurulatih dan kakitangan pengurusan yang bekerjasama dengan persatuan sukan yang berdaftar dan dibenarkan di bawah KBS melalui portal yang dibangun khusus untuk tujuan ini.

Individu yang layak boleh menikmati diskaun untuk tambang penerbangan dan tambahan elaun bagasi selain memperoleh Enrich Points. Tawaran ini terpakai untuk penerbangan yang dikendalikan oleh Malaysia Airlines sahaja dan tidak termasuk rakan kongsi syarikat penerbangan oneworld dan codeshare.

Kerjasama ini juga akan menyaksikan penubuhan program pengiktirafan untuk memberi penghormatan kepada ahli sukan dan organisasi cemerlang yang disokong oleh Malaysia Airlines, yang menekankan komitmen dalam meraikan kecemerlangan sukan. Melalui kerjasama dalam program dan inisiatif KBS, MAG dan KBS berhasrat untuk menggembleng usaha dalam memajukan pembangunan sukan dan menggalakkan budaya hidup aktif dan kesejahteraan dalam masyarakat Malaysia.

Sumber Gambar: Malaysia Airlines

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #MalaysiaAirlines #KBSMalaysia #MHSports