KUALA LUMPUR, 8 MEI 2024 – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, dengan diiringi oleh YB Dato’ Ramli Bin Dato’ Mohd Nor, Ahli Parlimen Cameron Highlands dan beberapa pegawai kanan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah melakukan lawatan kerja ke Cameron Highlands pada 6 Mei 2024 yang lalu.
Dalam lawatan kerja itu, YB Hannah menyatakan bahawa beliau akan menangani keperluan untuk menambah baik infrastruktur sukan yang melibatkan atlet muda dari kawasan itu bagi menunjukkan sokongan padu untuk sukan akar umbi.
“Kementerian berdedikasi untuk memupuk sukan dari peringkat akar umbi hingga sukan elit. Kami berhasrat untuk mewujudkan peluang kepada semua orang untuk melibatkan diri dalam sukan tanpa mengira umur atau latar belakang mereka,” kata YB Hannah.
Lawatan kerja dimulakan dengan perjumpaan dengan sekumpulan perenang muda yang sebahagiannya mewakili negeri Pahang dalam pertandingan peringkat kebangsaan. YB Hannah telah diberikan taklimat mengenai kekurangan kemudahan renang di Cameron Highlands yang menyebabkan atlet-atlet ini terpaksa menjalani latihan di kolam renang di The Strawberry Hotel yang disediakan secara percuma oleh pihak pengurusan hotel.
YB Hannah turut memuji usaha The Strawberry Hotel atas sokongan mereka dan menekankan usaha mereka sebagai contoh perkongsian awam-swasta dalam pembangunan sukan. YB Hannah turut membincangkan keperluan kolam renang yang sesuai untuk latihan bersama Ahli Parlimen Cameron Highlands dan menyatakan komitmennya untuk bekerjasama dengan wakil tempatan bagi mencapai matlamat ini khususnya dalam mengenal pasti tanah untuk tujuan ini.
Selain itu, dalam usaha menggalakkan pembangunan sukan luar bandar, KBS turut menganjurkan beberapa siri acara sukan untuk masyarakat setempat antaranya Sepak Takraw, Futsal dan Silambam, termasuk beberapa aktiviti khas untuk warga emas bagi menggalakkan gaya hidup aktif untuk semua peringkat umur.
YB Hannah turut meninjau cadangan kerja naik taraf untuk mengubah padang menjadi kemudahan trek dan padang. Lokasi ini berfungsi sebagai tempat utama untuk aktiviti sukan tempatan, acara sekolah dan aktiviti rekreasi yang lain dalam menyediakan kemudahan yang lebih baik untuk atlet, sekolah tempatan dan komuniti yang lebih luas.
Di samping itu, YB Hannah berkesempatan melawat gim komuniti tempatan yang diuruskan oleh Majlis Belia Daerah Cameron Highlands yang mana beliau telah mengumumkan sumbangan sebanyak RM50,000 untuk menaik taraf peralatan gim di situ.
YB Hannah juga beramah mesra bersama anak-anak dan belia orang asli yang menyatakan semangat mereka terhadap sukan futsal dan sepak takraw yang popular dalam kalangan masyarakat. Beliau juga bertemu dengan pemain bola keranjang tempatan yang kebanyakannya menghabiskan waktu selepas kerja bermain bola keranjang dan menganjurkan kejohanan tempatan untuk komuniti. Input yang diperoleh akan membimbing KBS bagi merancang program sukan dan pembangunan yang disasarkan bagi memastikan ia sejajar dengan minat dan keperluan masyarakat setempat.
Lawatan itu diakhiri dengan klinik bola sepak untuk 160 kanak-kanak dari komuniti tempatan dan orang asli dengan setiap kanak-kanak menerima bola sepak percuma untuk menggalakkan latihan berterusan dan pembangunan kemahiran.