KUALA LUMPUR, 13 MEI 2024 – Pelumba muda negara, Hakim Danish terpaksa berpuas hati menamatkan perlumbaan di tangga ketiga pada perlumbaan Pusingan 2 Kejuaraan Red Bull MotoGP Rookies Cup 2024 di Litar Le Mans, Perancis, semalam.
Hakim Danish yang mencatatkan masa 1:44.604 di sesi kelayakan berhasil menempatkan diri di petak keempat. Namun begitu, selepas pelumba di depannya dikenakan penalti, Danish naik ke tempat ketiga di sesi kelayakan.
Pada Perlumbaan 1, Hakim Danish, yang bermula di petak ketiga pada mulanya mendahului perlumbaan buat seketika. Bersaing bersama kelompok hadapan hampir setiap pusingan, akhirnya menamatkan perlumbaan di tempat keenam.
Pada Perlumbaan 2, Hakim Danish bertarung sengit dalam kelompok tiga terbaik sepanjang saingan mencatat masa 25 minit 21.768 saat (s) untuk meraih kedudukan ketiga. Kemenangan ini sekali gus menjadikan ia sebagai podium kedua buat Hakim selepas menaiki podium pada Pusingan 1 yang berlangsung di Litar Jerez.
“Pada perlumbaan, saya buat good start dan saya kekal bersama kelompok hadapan dan mendahului beberapa pusingan. Supaya saya mudah untuk kekalkan posisi saya di hadapan. Pada lap terakhir, saya cuba untuk menang tapi dipintas oleh dua pelumba ke P4.
“Saya hanya sempat memintas seorang pelumba sahaja dan berjaya tempatkan diri saya di podium. Untuk pusingan akan datang di Mugello, saya akan buat lebih baik dari hari ini,” kata Hakim Danish.
Hakim Danish kini berada di tangga kelima secara keseluruhan selepas mengumpul 53 mata. Selepas ini, Hakim Danish akan turun beraksi di Pusingan 4 yang akan berlangsung di Litar Mugello, Itali.