fariszolkefli

LTDL 2024 UMUM PERUBAHAN LALUAN PERLUMBAAN

LTDL 2024 UMUM PERUBAHAN LALUAN PERLUMBAAN

May 14, 2024 7:36 am

KUALA LUMPUR, 14 MEI 2024 – Majlis Sukan Negara selaku penganjur perlumbaan berbasikal Petronas Le Tour de Langkawi 2024 (LTDL 2024) mengumumkan pertukaran laluan peringkat keempat dari Kuala Kubu Bharu ke Genting kepada laluan baharu iaitu Kuala Kubu Bharu ke Bentong sejauh 148.9 kilometer. 

Perubahan laluan itu diputuskan apabila penganjur melengkapkan tinjauan laluan baharu setelah mengambil kira faktor-faktor keselamatan ekoran kerja-kerja penambahbaikan jalan dan cerun di sepanjang laluan Genting Highlands sepanjang tarikh perlumbaan.

Pemilihan Daerah Kuala Kubu Bharu dan Bentong adalah untuk mengekalkan persiapan yang sedang dirangka oleh kedua-dua hos pelepasan dan penamat tersebut berdasarkan pengumuman laluan yang telah diumumkan menerusi Majlis Pelancaran Petronas LTDL 2024 pada 18 Mac 2024 lalu.

Seperti diumumkan sebelum ini, penganjur tetap cuba mengekalkan konsep ‘back-to back mountain climbs’ untuk Peringkat Ke-3 dan Ke-4 bagi Petronas LTDL 2024.

Peringkat Ke-4 kali ini bakal menyaksikan pelumba perlu memulakan pendakian pada jarak KM 20 hingga ke KM 40 di Jalan Gap-Bukit Fraser sebelum pendakian ke puncak Bukit Fraser pada ketinggian 1,250m. 

Peringkat ini bakal menjelmakan cabaran tambahan buat pelumba kerana memerlukan percaturan taktikal dan teknikal yang tepat kerana bukan sahaja menuntut kayuhan pendakian hebat, tetapi juga kepakaran menuruni bukit bagi mengumpul jurang masa maksimum (maximum time gap) untuk mengharungi baki 70 km laluan landai ke Bentong.

Edisi ke-28 perlumbaan berbasikal paling berprestij di benua Asia ini dijadualkan berlangsung bermula 29 September sehingga 6 Oktober 2024 dengan Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan perlumbaan yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung kalinya bakal dilangsungkan di Sarawak dengan jarak keseluruhan merangkumi 1,227.2 km.

Sumber Gambar: LTDL 2024

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #PETRONASLeTourdeLangkawi2024 #LTdL2024