fariszolkefli

MSN PERLIS SAMBUT BAIK BANTUAN KBS

MSN PERLIS SAMBUT BAIK BANTUAN KBS

May 20, 2024 7:53 am

KANGAR, 20 MEI 2024 – YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan telah melakukan lawatan kerja ke Negeri Perlis pada 17 dan 18 Mei 2024, bagi menghadiri Majlis Penyerahan Litar Motorcross Sg. Batu Pahat, Kangar kepada Majlis Sukan Negeri Perlis pada 17 Mei 2024. 

Projek naik taraf Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang bernilai RM373 ribu mengambil masa 4 bulan untuk disiapkan. Pada masa kini, Litar Motorcross Sg. Batu Pahat, Kangar ini akan diselenggara oleh Majlis Sukan Negeri Perlis dan diharap fasiliti ini dapat menjadi tempat untuk belia mengadakan aktiviti rekreasi. 

YB Hannah berharap agar Majlis Sukan Negeri Perlis dapat mengadakan kejohanan tempatan dan antarabangsa bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang motorcross selain menggalakkan pelancong datang ke Negeri Perlis.

Selain itu, YB Hannah turut melawat ke Stadium Tuanku Syed Putra untuk melihat perkembangan terkini projek naik taraf stadium berkenaan. Projek naik taraf Kerajaan Persekutuan melalui KBS yang bernilai RM7.6 juta ini melibatkan kerja-kerja baik pulih bilik serbaguna, penggantian bumbung baharu, penggantian tempat duduk astaka, pembaikan balapan, dan naik taraf sistem bunyi. 

Projek baik pulih Stadium Tuanku Syed Putra kini dalam fasa akhir dan ia akan dapat merealisasikan hasrat Kerajaan Persekutuan khususnya terhadap sukan olahraga untuk menggalakkan lebih ramai atlet olahraga negeri Perlis menggunakan trek ini.

Kedua-dua projek Kerajaan Persekutuan ini selaras dengan hasrat Kerajaan Madani untuk memberi akses kepada fasiliti sukan dan memperkasakan pembangunan bakat belia.

Sumber Gambar: KBS Malaysia

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #KBSMalaysia #TeamKBS