fariszolkefli

LITAR TANGKAK BUKA TIRAI FIM MINI GP MALAYSIA SERIES

LITAR TANGKAK BUKA TIRAI FIM MINI GP MALAYSIA SERIES

May 23, 2024 5:07 am

TANGKAK, 23 MEI 2024 Kejuaraan yang melonjakkan nama Qabil Irfan Azlan dan Malaysia ke pentas dunia – kejuaraan FIM MiniGP Malaysia Series akan membuka saingan musim keempat hujung minggu ini pada 25 dan 26 Mei di Litar Lumba Tangkak, Johor dengan menjanjikan lebih ramai pelumba berbakat dilahirkan daripada program pembangunan bakat terulung negara ini. 

Qabil Irfan, juara kebangsaan dan dunia kelas 160cc tahun lepas, akan terus mewarnai pada siri anjuran bersama Motorsports Association of Malaysia (MAM), Petronas Sepang International Circuit (SIC) dan ZK Racing ini dengan bersaing dalam kelas yang lebih tinggi, 190cc. Qabil bakal dicabar oleh pelumba yang lebih tua dan lebih berpengalaman seperti Farish Hafiy, yang mendapat gelaran juara bagi kategori FIM MiniGP 190 tahun lalu. 

Juara bagi kategori SIC Ohvale Junior Championship, Aidil Zariff dari Selangor yang tahun ini akan naik ke kategori FIM MiniGP 160, semestinya akan menimbulkan keterujaan untuk melihat hasil Aidil Zariff di kategori baharu dengan motosikal yang lebih berprestasi tinggi.

Seperti musim-musim lepas, saingan 2024 bakal menampilkan lima pusingan. Selepas perlumbaan pembukaan musim di Litar Lumba Tangkak, Johor hujung minggu ini, kejuaraan akan diteruskan di Litar Go-Kart Sepang, Selangor pada 8 dan 9 Jun sebelum beralih ke MORAC Adventure Park, Langkawi pada 13 dan 14 Julai. Pusingan 4 akan diadakan di Litar Lumba UNIMAP, Perlis pada 3 dan 4 Ogos sebelum pusingan akhir diadakan di Litar Go-Kart Sepang pada 19 dan 20 Oktober

Secara keseluruhan 42 pelumba bakal bersaing pada musim ini dengan ⁠14 pelumba dalam Kejohanan Remaja SIC Ohvale 110cc termasuk 4 pelumba luar negara; dan 16 pelumba dalam FIM MiniGP 160cc termasuk 2 pelumba antarabangsa. Seramai 12 pelumba dalam FIM MiniGP 190cc termasuk 4 pelumba antarabangsa. Semua pelumba akan berlumba dengan jentera Ohvale dengan menggunakan tayar Pirelli, yang merupakan tayar rasmi kejuaraan.

Selepas lima pusingan, juara dan naib juara kelas 160cc dan 190cc akan dipilih untuk mewakili negara untuk bersaing pada FIM MiniGP World Finals, yang akan diadakan di Valencia, Sepanyol pada bulan November.

Sumber Gambar: ZK Racing

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #FIMMiniGPMalaysiaSeries