Faris Zolkefli

AKAUN SATELIT SUKAN PERKASA INDUSTRI SUKAN NEGARA

AKAUN SATELIT SUKAN PERKASA INDUSTRI SUKAN NEGARA

May 31, 2024 7:10 am

KUALA LUMPUR, 31 MEI 2024 – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Akaun Satelit Sukan bertempat Dewan Podium, Menara KBS, Putrajaya, hari ini.

Majlis turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), YBhg. Ts. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu dan Ketua Perangkawan Malaysia, YBhg. Dato’ Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin serta Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), YBrs. Tuan Mohd Azhari Mohammad.

Sektor industri sukan merupakan sektor yang penting kepada pertumbuhan ekonomi dunia. Menurut laporan 2024 Sports Market Insights: Comprehensive Analysis, Projected Growth, and Future Trends, hasil industri sukan global pada tahun 2022 berjumlah melebihi RM 1.8 trilion. Nilai industri ini dijangka terus meningkat melebihi RM 2.8 trilion menjelang tahun 2028.

Berdasarkan Laporan Awalan Akaun Satelit Sukan 2022, nilai ditambah kasar industri sukan telah bertumbuh sebanyak 12.1 peratus pada 2022, berbanding 1.9 peratus pada tahun sebelumnya, dengan jumlah RM19.6 bilion. Nilai ini bersamaan dengan 1.34% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia pada tahun 2022.

Akaun Satelit Sukan merupakan sebuah inisiatif KBS, menerusi Sekretariat Industri Sukan dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), untuk menyediakan sistem perakaunan terperinci mengenai industri sukan. Akaun ini akan menggunakan 73 Kod Industri Standard Malaysia (MSIC) bagi memberikan gambaran ekonomi yang lebih terperinci dan menyeluruh di luar penunjuk makroekonomi. 

Selain itu, Akaun Satelit Sukan bertujuan untuk: menyediakan statistik dan set data melibatkan industri sukan yang komprehensif, menyeluruh dan holistik; menjejaki sumbangan dan pulangan yang diberikan industri sukan terutamanya kepada ekonomi negara; menjadi rujukan yang relevan buat pembuat dasar terutamanya melibatkan kepentingan industri sukan; dan membekalkan maklumat dan data yang sahih berkaitan industri sukan Malaysia terutamanya kepada pemegang taruh berkaitan.

Akaun Satelit Sukan memberi penekanan kepada enam (6) output iaitu: Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK); Permintaan dan Penawaran Produk dan Perkhidmatan Sukan; Eksport Produk dan Perkhidmatan Sukan; Import Produk dan Perkhidmatan Sukan; Komponen Pendapatan Industri Sukan; dan Guna Tenaga Dalam Industri Sukan.

Pelancaran Akaun Satelit Sukan ini juga menzahirkan komitmen Kerajaan dalam memperkasakan pembangunan industri sukan di Malaysia seiring dengan aspirasi yang digariskan di bawah kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).

Sumber Gambar: JBSNegara

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #AkaunSatelitSukan