fariszolkefli

PORTIMAO BAKAL UJI KESIAPSIAGAAN PELUMBA NEGARA

PORTIMAO BAKAL UJI KESIAPSIAGAAN PELUMBA NEGARA

June 20, 2024 7:01 am

KUALA LUMPUR, 20 JUN 2024 – Kejohanan FIM JuniorGP kini kembali untuk pusingan keempat yang akan diadakan di Autodromo Internacional de Algarve, Portugal pada 20 hingga 23 Jun ini. Litar yang dikenali sebagai Portimão ini mempunyai jarak sepanjang 4692 km dengan 15 selekoh dan perubahan ketinggian yang ketara.

Selepas empat minggu berehat daripada perlumbaan JuniorGP, ia membolehkan semua pasukan untuk bersedia dengan perlumbaan yang intensif di Portugal dan para pelumba sudah mula menunjukkan semangat untuk kembali ke grid.

Bagi pelumba negara, Hakim Danish dan Danial Syahmi, kedua-duanya mengimpikan untuk mendapatkan podium pertama mereka di kategori JuniorGP dan telah membuat persediaan yang baik sebelum bermulanya pusingan keempat.

“Persediaan saya untuk hujung minggu ini semua dilakukan di Malaysia. Di mana saya buat latihan motosikal, gym, dan larian. Saya dah bersedia untuk pusingan keempat di Portimao. Harapan saya ingin bersaing di kelompok hadapan dan cuba untuk mendapatkan podium yang pertama. Saya perlu kekalkan fokus saya dan akan buat yang sehabis baik,” kata Hakim Danish.

Menurut Zulfahmi Khairuddin, Ketua Pasukan ZK Racing, beliau yakin dengan potensi Hakim Danish dan Danial Syahmi serta berharap dapat menghabiskan perlumbaan minggu ini di posisi yang lebih baik daripada sebelum ini. Hakim Danish kini berada di posisi yang kompetitif dengan memberi saingan di kelompok hadapan. Manakala Danial Syahmi perlu meningkatkan lagi kelajuan supaya berhasil bersaing di kelompok hadapan.

“Persediaan saya lebih baik daripada sebelum ini dengan melebihkan latihan di Tarragona, Spain. Saya rasa fizikal saya pun lebih baik daripada sebelum ini. Pada perlumbaan di Portimao ini, saya impikan untuk meraih podium pertama saya di JuniorGP. Sasaran saya ialah untuk kekal bersaing dan memberi saingan yang hebat di kelompok hadapan,” kata Danial Syahmi.

Untuk kategori JuniorGP, akan adanya dua perlumbaan pada pusingan ini dan siaran langsung hanya akan tersedia pada hari perlumbaan (Ahad) di laman YouTube dan Facebook FIM JuniorGP.

Sumber Gambar: ZK Racing

 

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #FIMJuniorGP #MotoGP