Faris Zolkefli

JELAJAH TEAM MAS TERIMA SAMBUTAN MENGGALAKKAN

JELAJAH TEAM MAS TERIMA SAMBUTAN MENGGALAKKAN

July 1, 2024 9:30 am

KUALA LUMPUR, 1 JULAI 2024 – Majlis Sukan Negara (MSN) telah memulakan Siri Jelajah Team MAS Road To Paris 2024 pada 10 hingga 12 Jun 2024 melibatkan Zon Utara dan Pantai Timur, diikuti Zon Tengah dan Selatan pada 19 hingga 21 Jun 2024 seterusnya ke Zon Sarawak pada 26 hingga 28 Jun 2024. 

Menerusi kolaborasi bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), MSN telah mengadakan kempen sokongan jutaan harapan untuk Kontinjen Malaysia ke sekolah-sekolah atlet negara yang akan menggalas cabaran negara ke Temasya Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024. 

Siri jelajah ini meliputi 23 buah sekolah seluruh negara membabitkan hampir 15 ribu pelajar yang turut serta dalam pelbagai aktiviti yang dijalankan antaranya sesi kuiz, tayangan video dan cabutan bertuah menerusi ucapan kreatif kepada atlet-atlet negara.

Selain mendapatkan sokongan jutaan harapan, jelajah ini juga bertujuan memberi penghargaan kepada sekolah-sekolah yang telah melahirkan jaguh-jaguh yang mengharumkan nama Malaysia di persada dunia seterusnya memberi galakan dan dorongan untuk melahirkan lebih ramai bintang-bintang di masa hadapan. Pada masa sama, siri jelajah ini antara lain dapat memberi pengetahuan kepada pelajar-pelajar mengenai perkembangan terkini sukan negara dan mengetahui persediaan atlet negara menjelang temasya sukan terbesar dunia, Sukan Olimpik dan Sukan Paralimpik Paris 2024.

Kempen yang membawa tema ‘Kita Semua Team MAS’ ini juga bertujuan mendapatkan sokongan dan penglibatan masyarakat kepada Kontinjen Negara disamping menanam semangat ‘sense of belonging’ dalam kalangan rakyat Malaysia bersempena temasya sukan terbesar dunia itu. 

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan sokongan kepada Team MAS dengan menandatangani poskad sokongan jutaan harapan untuk atlet negara pada Majlis Anugerah Sukan Negara 2023 yang berlangsung baru-baru ini.

Kempen Team MAS telah dilancarkan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh pada 6 Jun 2024 adalah satu gerakan nasional sebagai tanda sokongan ke atas atlet negara. 

Team MAS merupakan jenama Kebangsaan untuk mewujudkan sokongan secara kolektif dan sorakan rakyat Malaysia kepada atlet negara sempena Temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024. Sukan Olimpik akan berlangsung pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 manakala Sukan Paralimpik akan bermula pada 28 Ogos hingga 8 September 2024.

Sumber Gambar: KBS Malaysia

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #TeamMAS #KitaSemuaTeamMAS