fariszolkefli

AGONG ZAHIR KATA-KATA SEMANGAT BUAT ATLET NEGARA

AGONG ZAHIR KATA-KATA SEMANGAT BUAT ATLET NEGARA

July 2, 2024 7:42 am

KUALA LUMPUR, 2 JULAI 2024 – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, menzahirkan kata-kata semangat kepada kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.

Seri Paduka Baginda menzahirkan perkara itu menerusi satu hantaran dalam Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

“Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada semua atlet-atlet negara yang akan bertanding pada Sukan Olimpik 2024.

“Bersama-sama kita mendoakan kecemerlangan buat atlet-atlet yang mewakili negara ke temasya Olimpik dan Paralimpik,” titah Seri Paduka Baginda.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong berkenan berangkat menyempurnakan majlis penyerahan Jalur Gemilang kontinjen Malaysia ke temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024 di Istana Negara, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah YB Hannah Yeoh, Menteri Belia dan Sukan; Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden Majlis Olimpik Malaysia dan Datuk Seri Megat D Shariman, Presiden Majlis Paralimpik Malaysia.

Hadir sama, Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Hamidin Mohd Amin, Chef De Mission (CDM) kontinjen negara ke sukan Olimpik dan Datuk Subramanian Raman Nair, CDM kontinjen negara ke sukan Paralimpik.

Pada temasya Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai pada 26 Julai hingga 11 Ogos 2024 dan sukan Paralimpik (28 Ogos hingga 8 September 2024), seramai 25 atlet kebangsaan yang akan mengambil bahagian setakat ini, manakala sukan paralimpik pula melibatkan seramai 20 atlet.

Sumber Gambar: Sultan Ibrahim Sultan Iskandar

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #OlympicParis #Paris2024 #JalurGemilang #TeamMAS #KitaSemuaTeamMAS