Faris Zolkefli

MINI ESPORTS CON RAI INDUSTRI ESPORTS TEMPATAN

MINI ESPORTS CON RAI INDUSTRI ESPORTS TEMPATAN

July 4, 2024 9:24 am

KUALA LUMPUR, 4 JULAI 2024 – Mini EsportsCon anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) buat julung kalinya berjaya menghimpunkan pemegang taruh esukan dalam kalangan penerbit permainan terkemuka tempatan dan antarabangsa di bangunan utama Parlimen Malaysia.

 

Acara ini dianjurkan bagi meraikan industri esukan yang dinamik dan pesat berkembang di Malaysia, di samping menyediakan ruang libat urus antara pemain industri sukan elektronik dan warga Parlimen khususnya Ahli-Ahli Dewan Rakyat sebagai penggubal undang-undang negara.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Parlimen yang hadir dan warga Parlimen yang turut serta memberikan sokongan untuk acara Mini EsportsCon di Parlimen. Acara ini menandakan pencapaian penting dalam mengiktiraf potensi esukan sebagai industri yang dinamik dan berpengaruh. Kami berharap inisiatif ini diterima dengan baik dan mampu memberikan gambaran lebih jelas kepada pembuat dasar berkenaan landskap esukan yang semakin berkembang,” kata Yang Berhormat Adam Adli Abd Halim, Timbalan Menteri Belia Dan Sukan ketika sesi walkabout ke Mini EsportsCon di Dewan Bankuet, Bangunan Utama Parlimen.

Penganjuran acara ini turut dijayakan secara bersama oleh Persekutuan Sukan Elektronik Malaysia (MESF), Moonton, Tencent, Raceroom Asia, Gamesbond, Ammobox Studios, Kaigan Games dan Todak Studios. 

Antara aktiviti yang berlangsung termasuklah sesi pengenalan kepada sukan elektronik dan sesi demonstrasi permainan yang menawarkan pengalaman secara terus dengan pelbagai judul permainan. 

Selain itu, acara ini juga menampilkan pembentangan Garis Panduan Pembangunan Sukan Elektronik Kebangsaan (NESDEG), yang dibangunkan untuk menyokong pelaksanaan strategi di bawah Pelan Strategik Sukan Elektronik Kebangsaan 2020-2025.

MESF turut mengetengahkan Esports MedicA, sebuah inisiatif yang diwujudkan untuk memberikan pendidikan dan khidmat nasihat berkaitan kesihatan kepada penggiat industri khususnya buat para pemain.

Sumber Gambar: ESI

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #MiniEsportsCon #Esports #EsportsMalaysia #EsportsIntegrated