KUALA LUMPUR, 9 JULAI 2024 – Pelumba muda negara, Qabil Irfan mencipta sensasi baharu apabila berhasil menaiki podium berganda pada Pusingan 3 Spanish Superbike Championship (ESBK) dalam kategori Moto 4 yang berlangsung di Autodromo do Estoril, Portugal, hujung minggu lalu.
Juara dunia Mini MotoGP 2023 yang berlumba untuk pasukan Frando VHC Team Liqui Moly itu menamatkan saingan Perlumbaan 1 di tempat ketiga, seterusnya memanjat satu lagi anak tangga pada Perlumbaan 2 untuk menaiki podium perlumbaan di tempat kedua.
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada SIC, KBS, Terengganu Inc, RCB, ZK Racing, dan pasukan Frando kerana banyak membantu saya. Di perlumbaan 1, agak sengit dan begitu juga di Perlumbaan kedua. Di Perlumbaan 2, saya sempat mendahului perlumbaan sebentar dan gap dalam 1 saat lebih. Tetapi mereka berjaya kejar saya di akhir perlumbaan,” kata Qabil.
Selepas ini, Qabil ingin menumpukan perhatiannya untuk menghadapi Pusingan 4 yang akan berlangsung di Catalunya, Sepanyol pada 27 dan 28 Julai ini.