fariszolkefli
KUALA LUMPUR, 15 JULAI 2024 – Persatuan Renang Para Malaysia (PREPMA) tampil menjelaskan proses penamaan atlet renang para ke Temasya Sukan Paralimpik 2024 Paris, bahawa ia dilaksanakan mengikut prosedur dan kriteria yang telah ditetapkan serta tiada kepentingan kepada mana-mana pihak yang terlibat.
Selepas tarikh pemberian slot secara automatik oleh World Para Swimming (WPS) ditutup pada 16 Februari 2024, hanya dua (2) slot sahaja yang diberikan untuk Malaysia, manakala slot bipartite dibuka untuk permohonan. Berikutan itu, PREPMA telah menghantar permohonan melalui Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) untuk slot bipartite dan pada 30 Jun 2024, WPS telah memaklumkan permohonan tersebut adalah tidak berjaya.
Untuk makluman, tiga (3) orang atlet telah melepasi masa kelayakan minimum (Minimum Qualifying Standard, MQS) untuk ke temasya Sukan Paralimpik 2024 Paris iaitu Muhammad Nur Syaiful (kelas S5 – 4 acara), Zy Lee Kher (kelas S5 – 2 acara) dan Muhammad Imaan Aiman (kelas S14 – 1 acara). Ketiga-tiga atlet tersebut telahpun dimaklumkan oleh Ketua Jurulatih, Fumiyo Minemura mengenai kriteria pemilihan atlet sekiranya Malaysia tidak berjaya mendapat slot bipartite dan perlu membuat pemilihan bagi memenuhi 2 slot yang layak semasa atlet melapor diri untuk latihan pusat di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik Kampung Pandan.
Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Atlet PREPMA yang dipengerusikan oleh Presiden PREPMA telah diadakan pada 3 Julai 2024 yang turut dihadiri oleh wakil daripada MPM, Majlis Sukan Negara (MSN) dan Ketua Jurulatih Skuad Renang Para bagi membincangkan pemilihan untuk mengisi dua (2) slot ke Sukan Paralimpik 2024 Paris. Mesyuarat telah menetapkan kriteria pemilihan seperti berikut: peluang terdekat untuk memenangi pingat (tempat ke-3) berdasarkan kepada prestasi semasa bermula April 2023 hingga Jun 2024; bilangan acara yang akan disertai oleh Kontinjen Negara; dan pencapaian luar biasa (jika berkaitan).
Untuk Kriteria 1, Ketua Jurulatih Skuad Renang Para, Fumiyo Minemura telah membentangkan secara terperinci kedudukan setiap atlet mengikut kriteria ini dan peratusan kebarangkalian memenangi pingat melalui acara-acara yang telah layak disertai. Pengiraan dan justifikasi ini dibuat adalah berdasarkan kepada data analitik yang berpandukan kepada pelbagai faktor seperti berikut: catatan masa – untuk justifikasi yang adil kepada ketiga-tiga atlet tersebut, catatan masa peribadi (PB) dan semasa (SB) diambil kira; perbandingan prestasi dengan negara-negara bersaing; dan pengiraan impak sains sukan pada adaptasi latihan oleh pihak ISN.
Setakat ini, peratusan kebarangkalian memenangi pingat yang paling tinggi dimiliki oleh Muhammad Imaan Aiman (S14) iaitu sebanyak 96.3% (berdasarkan kepada PB) dan 94.8% (berdasarkan kepada SB) untuk acara Lelaki S14 100m Kuak Lentang, manakala kedudukan kedua jatuh kepada Muhammad Nur Syaiful (S5) iaitu sebanyak 95.5% (PB) dan 93.2% (SB) untuk acara Lelaki SB4 100m Kuak Dada. Dua (2) acara lagi iaitu Lelaki S5 50m dan 100m Gaya Bebas, peratusan kebarangkalian memenangi pingat adalah 94.7% (PB)/90.8% (SB) dan 96.0% (PB)/91.3%(SB) masing-masing. Peratusan kebarangkalian untuk acara Lelaki S5 200m Gaya Bebas adalah 88.7% (PB). Muhammad Nur Syaiful tidak menyertai acara ini di kejohanan European Championships 2024 Madeira dan WPS World Series 2024 Berlin.
Bagi Zy Lee Kher (S5) pula, beliau mempunyai dua (2) acara yang sama dengan Muhammad Nur Syaiful iaitu Lelaki S5 200m Gaya Bebas dan SB4 Kuak Dada hanya mampu memiliki peratusan kebarangkalian sebanyak 90.1% (PB)/88.2% (SB) dan 87.8% (PB)/83.3% (SB) masing-masing, sekali gus menduduki kedudukan ketiga dalam pemilihan.
Untuk Kriteria 2, bilangan acara yang akan disertai oleh Kontinjen Negara kedua-dua atlet, Muhammad Nur Syaiful dan Zy Lee Kher adalah daripada kelas yang sama iaitu S5 bawah kategori masalah fizikal. Muhammad Nur Syaiful telah layak empat (4) acara bawah MQS. Walaupun Zy Lee Kher telah layak dua (2) acara bawah MQS dan satu (1) acara bawah MET (Minimum Entry Time) dalam kelas ini, bilangan acara yang akan disertai oleh Kontinjen Negara masih empat (4) acara dan peratusan kebarangkalian memenangi pingat dalam keempat-empat acara adalah lebih rendah daripada Muhammad Nur Syaiful.
Muhammad Imaan Aiman pula berada dalam kelas S14 iaitu kategori masalah pembelajaran dan layak bertanding dalam satu (1) acara bawah MQS. Ini bermaksud Kontinjen Negara akan bertanding dalam lima (5) acara dari dua (2) kategori yang berbeza dan beliau menduduki ranking teratas dari segi peratusan kebarangkalian memenangi pingat.
Bagi Kriteria 3, Muhammad Nur Syaiful telah memenangi pingat emas dalam acara Lelaki SB4 100m Kuak Dada di temasya Sukan Asia 2023 Hangzhou sementara Zy Lee Kher memenangi dua (2) pingat gangsa dan Muhammad Imaan Aiman satu (1) pingat gangsa.
Muhammad Imaan Aiman (S14) pula berjaya memenangi satu (1) pingat gangsa di WPS World Series 2024 Limoges dan menambahkan lagi satu acara layak bawah MET sementara Zy Lee Kher pula hanya memenangi satu (1) pingat gangsa dalam kategori remaja.
Tambahan, pemberian dua (2) slot oleh WPS kepada Malaysia adalah berdasarkan kepada pengiraan ranking tertinggi atlet sesebuah negara jika lebih daripada seorang atlet yang melepasi MQS dan dalam konteks ini, ranking Muhammad Nur Syaiful iaitu ranking ke-7 telah diambil kira pada masa pengiraan slot oleh WPS, sekali gus menjawab dakwaan ranking dunia Zy Lee Kher yang menyumbang kepada pemberian 2 slot adalah tidak tepat oleh pihak berkenaan.
Berdasarkan kepada kriteria-kriteria yang dinyatakan, PREPMA melalui Jawatankuasa Pemilihan Atlet telah bersetuju untuk menamakan Muhammad Nur Syaiful (S5) dan Muhammad Imaan Aiman (S14) untuk memenuhi dua (2) slot yang telah diberikan oleh WPS. PREPMA telah menjalankan sesi pemilihan atlet mengikut kriteria yang adil kepada ketiga-tiga atlet setelah mendapat pandangan dan cadangan dari semua pihak berkepentingan.
Matlamat dan harapan PREPMA adalah supaya semua pihak sentiasa berganding bahu dalam membentuk dan membangun insan secara menyeluruh melalui program spesifik yang terancang. Setiap atlet yang dipilih mempunyai kelebihan masing-masing tanpa menafikan peluang masing-masing. Semangat sepasukan menjadi tulang belakang kejayaan seseorang dengan tidak melebihkan ke’aku’an. Semua atlet merupakan aset terbaik negara ke arah pencapaian cemerlang berterusan.
Sumber Gambar: Paralympic Council Malaysia
#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #ParaSwimming #ParalympicParis2024