fariszolkefli

KBS UMUM PENAJA INSENTIF EMAS PARIS 2024

KBS UMUM PENAJA INSENTIF EMAS PARIS 2024

July 16, 2024 9:43 am

KUALA LUMPUR, 16 JULAI 2024 – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh hari ini mengumumkan dua penaja yang akan memberikan tajaan kepada atlet yang berjaya membawa pulang pingat emas pertama di Temasya Sukan Olimpik Paris 2024, sebagai menyuntik semangat atlet agar dapat memberikan aksi yang terbaik di bumi Paris nanti.

Dua penaja tersebut ialah Tan Sri Dr. Lim Wee Chai yang akan menganugerahkan Top Residency, sebuah pembangunan mewah di Setia Alam, menawarkan pangsapuri servis bernilai RM1 juta sebagai insentif istimewa. Terletak di kawasan strategik yang pesat membangun, Top Residency adalah sebahagian daripada sebuah hotel bertaraf 4 bintang menjanjikan gaya hidup eksklusif dan kemudahan bertaraf dunia.

“Kami berharap insentif ini akan menjadi pemangkin kepada kepada atlet-atlet negara untuk mencapai kejayaan yang belum pernah dicapai sebelum ini, termasuk membawa pulang pingat emas Olimpik pertama Malaysia.”

“Inisiatif ini bukan sekadar ganjaran ‘material’, tetapi juga simbol sokongan korporat terhadap kecemerlangan sukan negara. Kami ingin menggalakkan masyarakat untuk menghargai gaya hidup aktif dan sihat, serta memberi inspirasi kepada semua lapisan masyarakat untuk memberi impak positif kepada komuniti mereka,” kata Tan Sri Dr. Lim Wee Chai, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Top Glove serta pemilik Top Residency.

Manakala, satu lagi penyumbang, En. Lim Kim Heng (Pengerusi Eksekutif Senheng) pula akan menyumbang wang tunai berjumlah RM 1 juta kepada atlet yang berjaya memenangi pingat emas di bawah Program Bakat Badminton SS (2012 – 2016) yang telah layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 iaitu Aaron Chia, Soh Wooi Yik & Chen Tang Jie. Sekiranya ada lebih daripada satu pemenang, wang tunai akan dikongsikan sama rata. Senheng telah menyokong tiga pemain ini di bawah Program Bakat Badminton SS sejak penubuhannya termasuk menampung perbelanjaan latihan, penginapan dan makan minum mereka.

“Saya sangat teruja untuk mengumumkan ikrar peribadi sebanyak RM1,000,000 wang tunai kepada pemain badminton Malaysia pertama dari Program Bakat Badminton SS untuk mencapai pingat emas di Sukan Olimpik Paris 2024. Ganjaran ini adalah mengulangi kepercayaan saya terhadap bakat dan dedikasi atlet kita yang telah muncul daripada program ini daripada sekumpulan 20 orang sejak 2012. Harapan saya agar insentif ini bukan sahaja dapat memotivasikan mereka untuk mencapai prestasi terbaik, tetapi juga dapat mengukuhkan semangat perpaduan dan berkongsi tujuan untuk melakar kejayaan bersejarah buat Malaysia,” kata Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Berhad, En. Lim Kim Heng.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menzahirkan ucapan terima kasih dan amat menghargai atas usaha sama antara kerajaan dan pihak swasta memainkan peranan yang sangat penting. KBS mengalu-alukan lebih banyak syarikat swasta dan korporat untuk tampil ke hadapan dalam usaha sama memajukan lagi industri sukan negara.

Sumber Gambar: Hannah Yeoh

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #OlympicParis #Paris2024