KUALA LUMPUR, 18 JULAI 2024 – Program Research in High Performance Sports Colloquium (HPSC) 2024 edisi ketiga anjuran Institut Sukan Negara (ISN) yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 9 September ini memperoleh tujuh penyertaan dari Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan jumlah penyertaan sekitar 280 hingga 350 peserta.
Menurut Pengerusi HPSC 2024, Ng Hui Hwa, HPSC bakal menyediakan platform percambahan idea selain membincangkan hasil penemuan penyelidikan sukan berprestasi tinggi dalam kalangan penyelidik. Di samping itu, ia turut memainkan peranan sebagai galakan bagi memupuk penyelidikan sukan berprestasi tinggi yang amat sinonim dengan kemajuan sukan pada ketika ini.
“Dalam usaha untuk mewujudkan matlamat ini, kami juga menyertakan pertandingan Sports-Inno Challenge (idea pitching) yang menggariskan tiga tunjang penting, iaitu pengurusan risiko kecederaan, strategi pemulihan, serta prestasi dan pembangunan.
“Tema program kolokium 2024 ini, ‘Unlocking Excellence in Sports and Exercise Sciences: Integration through Research, Innovation and Technology’, sejajar dengan inisiatif untuk mendorong integrasi hasil penyelidikan terkini dan teknologi dalam memajukan bidang sukan berprestasi tinggi,” katanya.
Edisi sulung HPSC dianjurkan secara dalam talian kerana kekangan pandemik COVID-19 namun memperoleh sambutan menggalakkan dengan menerima 160 penyertaan. Pada tahun berikutnya, HPSC memperoleh penyertaan yang menggalakkan dengan 71 penyertaan secara terbuka dan 352 secara dalam talian.
“ISN berharap dapat menggalakkan inovasi sukan, menghubungkan penyelidik, dan mencapai kecemerlangan dalam sukan negara. ISN juga berharap ‘upskilling clinics’ dan bengkel memberi peluang kepada pelajar untuk meningkatkan kemahiran terkini yang relevan dengan industri sukan dan dapat mengurangkan jurang mereka dengan dunia pekerjaan industri sukan.
“Selain itu, sijil yang dikeluarkan melalui upskilling clinics dapat meningkatkan nilai resume mereka dan membuka peluang rangkaian profesional. Secara keseluruhannya, ini mengurangkan perbezaan dalam kemahiran, keyakinan, pengetahuan industri, dan pengiktirafan di pasaran kerja di industri sukan,” katanya.
Hui Hwa turut menjelaskan bahawa HPSC 2024 bakal memperkenalkan peserta dengan beberapa peralatan terkini dalam teknologi sukan.
“Teknologi terkini yang bakal diketengahkan di HPSC 2024 termasuk Tensiomyography (TMG) untuk membuat saringan biomekanikal tisu lembut, Holomotion (AI) untuk pengurusan pencegahan kecederaan, Ultrasonic Shock Wave Elastography pula untuk pemulihan kecederaan muskuloskeletal, dan Xsens untuk menganalisis pergerakan atlet.
“Teknologi-teknologi ini akan diperkenalkan dalam bengkel HPSC 2024, dengan fokus untuk meningkatkan prestasi, pengurusan risiko kecederaan, dan strategi pemulihan atlet secara lebih terperinci,” katanya.