PUTRAJAYA, 22 JULAI 2024 – Pertandingan Lompat Tali Terbuka KBS Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang bertempat di IOI City Mall, Putrajaya telah berlangsung dengan jayanya, semalam dengan majlis penutup dirasmikan oleh Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh.
Pertandingan inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) dengan kerjasama Persekutuan Lompat Tali Malaysia ini khusus untuk memperkasakan pembangunan sukan untuk semua terutamanya di peringkat akar umbi.
Dengan mengangkat Gaya Hidup Rakan Muda iaitu Rakan Aktif, penganjuran pertandingan adalah bertujuan untuk memperkasakan pembangunan sukan untuk semua terutamanya melibatkan disiplin kecergasan termasuklah lompat tali seterusnya melahirkan bakat baharu untuk mewakili negara.
Selain itu, ia bertujuan untuk mendedahkan peserta dan pengunjung mengenai kepentingan mengamalkan gaya hidup aktif dan cergas di samping memupuk disiplin yang tinggi serta memperkukuh semangat perpaduan dan persefahaman antara peserta, penggiat dan peminat sukan menerusi penganjuran program, aktiviti dan acara sukan.
Pertandingan ini turut berjaya menghimpunkan pemegang taruh sukan negara terutamanya dalam kalangan komuniti lompat tali untuk sama-sama berkongsi pengalaman dan pengetahuan dengan peserta dan pengunjung serta menarik minat masyarakat kepada sukan ini; dan merancakkan industri sukan negara melalui penganjuran program dan acara sukan.
Sebanyak 186 pasukan merangkumi 1,300 orang peserta dari seluruh negara telah menyertai pertandingan ini dengan dua kategori dipertandingkan iaitu Lompat Tali Berirama (Berkumpulan) dan Lompat Tali Prestasi Tinggi (Individu); yang mana setiap kategori wajib mempunyai pergerakan seperti Single Rope Skills; Partner Skills;Long Rope; Multi Rope; dan Double Dutch.
Penganjuran pertandingan ini diyakini dapat menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).
Sejak tahun 2023, KBS telah menyediakan peruntukan sebanyak RM 90 ribu di bawah Geran Padanan Sukan dan Dana Sukan Komuniti kepada persatuan sukan yang terlibat dalam pembangunan sukan lompat tali di peringkat kebangsaan, negeri dan komuniti.
Selain itu, YB Hannah turut menyempurnakan penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan Lompat Tali Malaysia yang akan menyertai Kejohanan Lompat Tali Asia 2024 bertempat di Kawasaki, Jepun bermula 24 hingga 28 Julai 2024.