KBS PERKASA PEMBUDAYAAN SUKAN DALAM KALANGAN WARGA EMAS
KBS PERKASA PEMBUDAYAAN SUKAN DALAM KALANGAN WARGA EMAS
July 23, 2024 9:22 am
PUTRAJAYA, 23 JULAI 2024 – Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh telah mempengerusikan Sesi Perbincangan Meja Bulat Pembudayaan Sukan dalam Kalangan Warga Emas Siri II Tahun 2024 bertempat di Menara KBS, Putrajaya, hari ini.
Sesi perbincangan meja bulat ini merupakan susulan kepada siri I yang telah diadakan pada 8 Februari 2024, dan bertujuan untuk melaporkan maklum balas dan gerak kerja program yang telah dilaksanakan bagi separuh tahun pertama 2024.
Bermula tahun 2024, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) mengambil langkah proaktif untuk menggalakkan sukan dalam kalangan warga emas bagi memastikan kesihatan fizikal, rohani dan mental golongan ini terpelihara.
Inisiatif ini dimulakan memandangkan populasi penduduk Malaysia yang berumur 60 tahun ke atas telah mencecah 11.1 peratus pada tahun 2023 dan dijangka meningkat kepada 15 peratus menjelang tahun 2030, sekali gus Malaysia bakal dikategorikan sebagai sebuah negara menua menurut definisi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menjelang tahun 2030.
Selain itu, sesi perbincangan pada kali ini juga akan membincangkan inisiatif/program/aktiviti secara lebih berfokus kepada pengukuhan peranan agensi kerajaan untuk menjayakan inisiatif pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas, dengan objektif seperti: membincangkan inisiatif dan pendekatan baharu bagi merancakkan usaha pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas; memperhalusi peluang kerjasama dan kerjasama rentas organisasi melibatkan hal-hal berkaitan dengan penuaan sihat dan sukan warga emas; memperkukuhkan tindakan penyelarasan bagi inisiatif pembudayaan sukan dalam kalangan warga emas secara holistik dan menyeluruh; dan menyokong hasrat kerajaan untuk meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan warga emas.
Sebanyak 15 agensi kerajaan, 5 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan 2 orang pakar rujuk telah dijemput bagi bersama berkongsi pendapat, idea, maklumat dan buah fikiran seiring dengan hasrat membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat terutamanya warga emas.
Penganjuran sesi ini akan menyumbang kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030).