fariszolkefli

TIGA BADAN KORPORAT SUNTIK RM2 JUTA BUAT PEMENANG EMAS PARIS 2024

TIGA BADAN KORPORAT SUNTIK RM2 JUTA BUAT PEMENANG EMAS PARIS 2024

July 26, 2024 9:53 am

PUTRAJAYA, 26 JULAI 2024 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini mengumumkan tiga lagi penaja yang telah menyatakan minat mereka untuk menaja atlet yang akan memenangi pingat emas pertama Sukan Olimpik Paris 2024.

Tiga syarikat yang tampil untuk memotivasikan lagi kontinjen negara yang terdiri daripada 26 atlet yang bertanding di Paris adalah Yinson Holdings Berhad, Matrix Concepts Holdings Berhad dan juga MJ Health Screening Centre.

Yinson Holdings Berhad akan menyumbang sebanyak RM1 juta, manakala Matrix Concepts Holdings Berhad dan juga MJ Health Screening Centre masing-masing akan memberikan sejumlah RM500,000, menjadikan jumlah keseluruhan insentif adalah RM2 juta yang bakal diterima bagi atlet yang memenangi pingat emas pertama Malaysia di Paris. Sekiranya lebih daripada seorang atlet memenangi pingat emas pertama, wang akan dibahagikan sama rata diantara pemenang pingat emas pertama tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson Holdings Berhad, Lim Chern Yuan percaya penajaan ini akan mendorong para atlet untuk mempamerkan persembahan hebat di Paris.

“Kami sentiasa mencari peluang untuk menyumbang dalam sukan Malaysia dan cara yang terbaik untuk melakukannya dengan memberi inspirasi kepada atlet yang bertanding di Olimpik. Kami berharap sumbangan kami akan membakar semangat mereka untuk beraksi dan mencipta sejarah dan memenangi pingat emas pertama Malaysia di sukan Olimpik Paris,” katanya.

Menurut Pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Berhad, Dato’ Seri Lee Tian Hock, berharap kontinjen negara mampu mencipta sejarah dengan membawa pulang pingat emas pertama negara

“Kami ingin mewujudkan persekitaran yang positif yang mana para atlet boleh memantau dan memotivasikan satu sama lain, berusaha hingga ke keringat terakhir untuk mendapatkan emas pertama,” katanya.

“Prinsip asas kami sentiasa menggalakkan rakyat Malaysia menjalani gaya hidup sihat dan sejahtera. Selaras dengan visi ini kami ingin memberi sumbangan kepada kontinjen negara dan kami positif sukan Malaysia akan mencipta sejarah di Sukan Olimpik,” kata Pengarah Urusan MJ Health Screening Centre, Mike Tee.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menzahirkan ucapan terima kasih buat penaja yang tampil memberikan tajaan dan meletakkan kepercayaan meraka terhadap atlet negara yang bertanding di Paris.

Bagi Chef de Mission Kontinjen Olimpik Malaysia, Datuk Haji Hamidin Mohd Amin, beliau berasa sangat teruja dengan sokongan yang diberikan oleh badan korporat kepada kontinjen negara.

“Semua insentif ini berperanan sebagai pendorong yang kuat. Kita berharap atlet negara akan memberikan persembahan yang memberikan inspirasi untuk memenangi pingat emas pertama negara,” katanya.

Minggu lepas, Top Residency memberikan sumbangan sebanyak RM1 juta dalam nilai hartanah iaitu pangsapuri perkhidmatan mewah manakala Lim Keng Heng yang merupakan Pengerusi Eksekutif Senheng New Retail Berhad turut menjanjikan RM1 juta kepada pemain kebangsaan Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Chen Tang Jie di bawah program mereka iaitu Bakat Badminton SS. Selain itu, pengeluar kereta dari negara China iaitu Chery Malaysia turut tampil menghadiahkan kenderaan utiliti sukan (SUV) kepada atlet yang memenangi sebarang pingat di Sukan Olimpik.

Sumber Gambar: Olympic Council of Malaysia

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #OlympicParis #Paris2024 #TeamMAS #KitaSemuaTeamMAS