PUCHONG, 6 OGOS 2024 – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Esports Integrated (ESI) telah melancarkan Dana Esukan KBS 2024 (Edisi Kedua) khusus untuk para pemegang taruh dan peminat ekosistem esukan tempatan.
Dalam edisi kedua ini, jumlah peruntukan dana telah digandakan kepada RM 1 juta bagi membantu lebih banyak program dan inisiatif esukan dianjurkan di negara ini; dibahagikan mengikut dua kategori berikut: Umum – RM 700,000 dengan had pembiayaan maksima sebanyak RM 30,000 setiap permohonan; IPTA/IPTS – RM300,00 dengan had pembiayaan maksima sebanyak RM 15,000 setiap permohonan.
Bagi syarat-syarat permohonan Dana Esukan KBS 2024, bagi kategori Umum – mesti berdaftar di bawah SSM, PJS, ROY, atau ROS; permohonan mesti menyertakan dek program/acara yang terperinci; penonton dan peserta acara harus terbuka kepada umum; dan permohonan tertakluk kepada kelulusan daripada Jawatankuasa Penilaian Dana Esukan. Manakala untuk IPTA/IPTS – kelab esukan/IPTA/IPTS mesti berdaftar di bawah IPTA/IPTS; permohonan mesti menyertakan dek program/acara yang terperinci dan surat sokongan daripada pentadbiran IPTA/IPTS; peserta acara mesti daripada pelajar dari IPTA/IPTS; dan permohonan tertakluk kepada kelulusan daripada Jawatankuasa Penilaian Dana Esukan.
Susulan Dana Esukan KBS (Edisi Pertama) yang telah berlangsung dari November 2023 hingga Februari 2024, sebanyak RM250,000 telah diluluskan dan disalurkan kepada 14 penerima daripada 108 permohonan. Oleh itu, dengan peningkatan peruntukan dana dalam Edisi Kedua ini, dijangka dapat memberi impak positif kepada lebih ramai penerima manfaat serta memacu pertumbuhan ekosistem esukan negara.
Dana Esukan KBS diwujudkan bertujuan untuk memberi galakan kepada penggiat industri esukan tempatan supaya mereka dapat menganjurkan lebih banyak program, pertandingan dan acara esukan serta merancakkan ekosistem esukan negara.
Dana ini meliputi pelbagai inisiatif, termasuk pembangunan bakat, penganjuran acara dan pertandingan esukan, menaik taraf kemudahan esukan, inisiatif sains dan penyelidikan esukan, serta program esukan komuniti. Pertubuhan kecil, kelab, persatuan dan syarikat yang memerlukan bantuan dana bagi penganjuran program, pertandingan dan acara esukan dipelawa untuk memohon dana ini.
Permohonan Dana Esukan KBS 2024 hendaklah dibuat secara dalam talian menerusi pautan https://esportsintegrated.com/2024/07/24/dana-esukan-kementerian-belia-sukan-2024/ sebelum tarikh tutup permohonan iaitu pada 27 Ogos 2024.
Semua permohonan yang lulus dan berjaya mestilah menganjurkan acara/program sebelum 30 November 2024. Untuk sebarang pertanyaan berkenaan Dana Esukan KBS 2024, sila hantarkan e-mel ke hey@esportsintegrated.com.