KUCHING, 20 OGOS — SUKMA XXI 2024 sekali lagi menyaksikan bakat muda atlet Malaysia apabila rekod kebangsaan dicipta dalam acara renang di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, semalam.
Andrew Goh yang memegang catatan masa 1:02.30s semasa Mei di Terbuka Malaysia sebelum ini mencipta rekod baharu kebangsaan dalam acara 100 meter kuak dada lelaki dengan catatan masa 1:01.39s dan meraih emas dalam cara tersebut. Bukan itu sahaja, beliau juga memperbaharui rekod SUKMA 2016 yang dipegang oleh Wong Fu Kang iaitu 1:03.05s.
Manakala atlet renang dari Wilayah Persekutuan Cham Yu Xiang meraih pingat perak dengan 1:04.55s dan gangsa pula dipegang oleh Emmanuel Low Yung Ming dari Sabah dengan 1:04.98s.
Selain itu, dua lagi rekod temasya yang diperbaharui adalah dalam acara 200m gaya bebas oleh Muhammad Dhuha Zulfikry apabila beliau berjaya mencabar rekod 16 tahun milik bekas jurulatihnya dengan 1:50.03s sekaligus meraih emas manakala Jayden Tan dari Wilayah Persekutuan dalam acara 400m rampaian individu merakamkan rekod baharu iaitu 4:26.94s menewaskan rekod SUKMA 2028 oleh pelumba Johor, Tia’a Faang Der (4:30.48s).
Sementara itu, rekod acara 50 m kuak lentang wanita oleh Chong Xin Lin dengan 29.74s memadam rekod temasya miliknya 30.13s yang dilakukan ketika saringan pagi semalam.
📸: The Star