Safiqah Nabilah

PRA PERASMIAN HARI SUKAN NEGARA 2024 OLEH YB ADAM ADLI

PRA PERASMIAN HARI SUKAN NEGARA 2024 OLEH YB ADAM ADLI

August 28, 2024 1:13 pm

PUTRAJAYA, 27 OGOS — Majlis Pra Perasmian Hari Sukan Negara (HSN) Tahun 2024 yang bertempat di Menara KBS, Putrajaya telah dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim, semalam. Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Encik Abd Aziz Abd Rahman.

HSN yang dianjurkan pada setiap tahun dengan harapan agar rakyat Malaysia sentiasa mengamalkan haya hidup aktif dan sihat. Sambutan HSN pada 2024 akan dilaksanakan pada 11 hingga 13 Oktober di seluruh negara. 

Membawa tema “Cergas Bersama”, seiring dengan kerangka Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030, pelbagai program dan aktiviti pembangunan sukan telah disediakan oleh kerajaan menerusi KBS ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah “negara bersukan”. Jumlah seramai 4.5 juta orang dari seluruh negara dijangka akan ikut serta HSN tahun ini.

Sementara itu, HSN Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 12 Oktober 2024 (Sabtu). Manakala, Majlis Perasmian HSN Peringkat Negeri dan Bahagian di Sarawak akan diadakan pada 19 Oktober 2024 (Sabtu) bagi menghormati Sambutan Ulang Tahun Kelahiran TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Rakan Strategik HSN pada tahun ini adalah RAKITA, jenama media infotainment pelbagai platform yang dicipta khusus untuk golongan muda, menyasarkan pendengar berumur antara 15 dan 34 tahun yang memberikan fokus tentang perkembangan sukan, e-sukan, hiburan dan pelbagai lagi.

KBS juga mengajak semua pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), syarikat korporat, dan individu swasta, untuk berganding bahu dalam menyokong dan mengambil bahagian dalam sambutan HSN 2024. Sebarang cadangan pelaksanaan program dan aktiviti boleh didaftarkan secara dalam talian melalui portal https://www.harisukannegara.my.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Sekretariat di talian 03-8871 3183/ 3242 atau e-mel hsn@kbs.gov.my.