BUKIT JALIL, 29 OGOS –– Majlis Sukan Negara (MSN) dan Allianz Malaysia Berhad telah mengumumkan secara rasmi lanjutan kontrak penajaan selama empat tahun untuk menyokong pembiayaan program latihan atlet para negara dari tahun 2025 hingga 2028.
Allianz telah menegaskan komitmen berterusan mereka sebagai rakan penaja MSN sejak 2022. Kontrak baru ini memperkukuhkan peranan Allianz sebagai rakan strategik dan penaja utama untuk program atlet para, yang meliputi acara sukan utama seperti Sukan Para ASEAN 2025 dan 2027, Sukan Para Asia 2026, serta Sukan Paralimpik 2028.
Ketua Pengarah MSN, Abdul Rashid Yaakub berkata MSN sangat berbesar hati dengan lanjutan kontrak penajaan ini, yang menunjukkan keberkesanan kerjasama yang telah terjalin antara kedua-dua pihak. Penajaan ini akan membantu menanggung kos latihan dan persiapan atlet para negara untuk beberapa acara sukan utama dunia yang akan datang.
Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Sean Wang pula berkata mereka juga yakin dengan lanjutan penajaan ini akan memberi semangat juara kepada para atlet Malaysia di Paralimpik Paris 2024 nanti. Allianz juga memberikan perlindungan insurans perjalanan kepada Kontinjen Para Malaysia.