CHANGLUN, 11 SEPTEMBER – Acara Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 menyaksikan persembahan bakat luar biasa apabila enam rekod kebangsaan dipecahkan dalam sukan kayak, semalam.
Rekod yang pertama dileburkan oleh Siti Nurqasrina Syahzanani dari UiTM semasa acara TK2 wanita. Beliau mencatatkan masa 57.29s semasa peringkat kelayakan, di Tasik Timah Tasoh, Perlis pada 7 September lalu. Rekod sebelum ini dipegang oleh Nur Amirah Anisah Abdul Kadir dari Johor, semasa Sukan Malaysia (Sukma) di Perlis pada 2014 dengan catatan masa 58.435s.
Rekod kedua pula berjaya dicabar oleh Nik Afiq Nik Mazli dari Kolej Polytec dalam acara TK1 lelaki pada peringkat kelayakan pertama pada 7 September, dengan catatan masa 42.97s, mengatasi rekod sebelumnya 46.857s yang dicipta oleh Muhammad Ridzuan Abdul Aziz pada Sukan Sukma di Perlis pada 2014.
Manakala gandingan Marina Muzaffa dan Aisyah Farhanah Azwan (UiTM) melakar sejarah mereka sendiri apabila rekod baharu dicipta mereka dalam acara K2 wanita menerusi catatan 43.19s di peringkat akhir mengatasi masa lama milik Syahida Asyiqin Rusli-Anis Unaizah yang dilakukan sewaktu Sukma Perlis 2014.
Baki tiga rekod kebangsaan adalah menerusi Khairul Naim Zainal dari UiTM dalam acara K1 lelaki dengan catatan masa 37.64s. Sementara itu, Syahida Asyiqin Rusli yang mewakili UPSI meletakkan penanda aras baharu dalam acara K1 wanita, mencatatkan masa 47.17s. Di samping itu, gandingan hebat Hassan Al Basri Ali dan Muhammad Naiem Shahmi Mahusin dari UPSI cemerlang dalam acara K2 lelaki dengan mencatat masa 36.40 saat.
📸: sukiptofficial