KUALA LUMPUR, 19 SEPTEMBER — Atlet angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan mencipta sensasi apabila bukan sahaja memenangi pingat emas kategori lelaki 61 kilogram (kg) tetapi juga memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri pada Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024 di Suva, Fiji, Rabu baru-baru ini.
Dalam kejohanan yang berlangsung di Vodafone Arena, Mohamad Aniq berjaya mengangkat jumlah berat keseluruhan sebanyak 298kg, sekali gus mengatasi rekod kebangsaan 297kg miliknya ketika di Sukan Olimpik Paris 2024, bulan lalu.
Pingat perak dimenangi oleh Morea Baru dari Papua New Guinea dengan jumlah angkatan 265kg manakala gangsa menjadi milik rakan sepasukan Mohamad Aniq, Mohammad Amin Hakimi Mohd Shukry, yang mengangkat jumlah berat keseluruhan sebanyak 243kg.
Sementara itu, seorang lagi atlet angkat berat negara, Muhammad Rahimi Sulaiman turut mencatat kejayaan dalam kejohanan tersebut apabila meraih pingat emas kategori lelaki 55kg dengan jumlah angkatan keseluruhan sebanyak 228kg, mengalahkan pesaingnya A. Maharajan dari India yang meraih perak dengan angkatan 217kg, manakala seorang lagi atlet India, Dabulal Hembrom, memenangi gangsa dengan angkatan 202kg.
Dalam pada itu, 2 lagi rekod kebangsaan dicatatkan apabila Muhamad Aznil Bidin meraih pingat emas dalam kategori lelaki 67kg dengan jumlah angkatan keseluruhan sebanyak 300kg, manakala Nur Syazwani Radzi mencatatkan jumlah angkatan sebanyak 196kg dan memenangi pingat gangsa dalam acara wanita 64kg.
Keputusan Keseluruhan Kejohanan Angkat Berat Komanwel 2024:
Acara: Lelaki 55 kg
🥇🇲🇾Rahimi Sulaiman: 228 kg
🥈🇮🇳Maharajan: 217 kg
🥉🇳🇷Degia Alfred: 193 kg
Acara: Lelaki 61 kg
🥇🇲🇾Aniq Kasdan: 298 kg
🥈🇵🇬Baru Morea: 265 kg
🥉🇲🇾Amin Hakimi: 244 kg
Acara: Lelaki 67kg
🥇🇲🇾Aznil Bidin:300 kg(NR)
🥈🇮🇳T.Madhavan: 295 kg
🥉🇼🇸Vaipava: 285 kg
Youth
🥇🇲🇾Nurul Syasya: 155 kg
🥈🇦🇺Georgia: 138 kg
🥉🇫🇯Mereia Claris: 123 kg
Acara: Lelaki 73 kg
🥇🇼🇸John Tafi: 309 kg
🥈🇲🇾Erry Hidayat: 308 kg
🥉🇳🇷Moses Ezekiel: 304 kg
Acara: Wanita 64 kg
🥇🇳🇷Crystie: 220 kg
🥈🇨🇦Nadia Yangui: 198 kg
🥉🇲🇾Nur Syazwani: 196 kg(NR)
: Facebook Majlis Sukan Negara Malaysia