Safiqah Nabilah

HATRIK EMAS ELVSIUS

HATRIK EMAS ELVSIUS

September 26, 2024 8:27 am

KUCHING, 26 SEPTEMBER – Elvsius John melengkapkan hatrik emas edisinya kali ini dengan memenangi acara lontar cakera F57 (kecacatan fizikal) dengan jarak rekod baharu 32.18 meter, memadamkan rekod temasya terdahulunya iaitu 31.99 meter yang dicatat pada edisi 2022.

Dia berjaya mengalahkan dua atlet Selangor, Muhammad Aizam Balqish Mohd Daniel Dangis (30.32m) dan Aliff Shafiq Muhamad (30.15m), yang masing-masing meraih pingat perak dan gangsa.

Dalam pada itu, Elvsius memecahkan Rekod Temasya (GR) berusia lapan tahun dalam acara lontar lembing F57, yang sebelum ini dipegang oleh Faridul Masri (27.02m), dengan jarak baharu 27.43m. Dia juga mencatatkan lontaran sejauh 9.31m dalam acara lontar peluru F57, mengatasi GR Faridul pada 2018 iaitu 9.22m.

Elvsius tidak berputus asa dengan kehidupan selepas kehilangan kaki kirinya dalam kemalangan jalan raya 10 tahun lalu, malah beliau sekali lagi membuktikan kekuatan lengannya dengan menyapu bersih tiga pingat emas dan memecahkan rekod Temasya dalam ketiga-tiga acara yang disertainya di Para SUKMA 2024.

📸: The Sun