KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER – Badminton yang merupakan antara penyumbang pingat untuk negara di Sukan Komanwel telah digugurkan daripada temasya tersebut yang akan diadakan di Glasgow, Scotland pada 23 Julai sehingga 2 Ogos 2026.
Berdasarkan kenyataan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), sebanyak 10 jenis sukan akan dipertandingkan pada edisi tersebut berbanding 19 jenis sukan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham England.
Sukan yang akan dipertandingkan iaitu olahraga dan para (trek dan padang), renang dan para renang, gimnastik artistik, trek berbasikal dan para trek berbasikal.
Selain itu, bola jaring, angkat berat dan powerlifting, tinju, judo, boling padang dan boling padang para, bola keranjang tiga lawan tiga dan bola keranjang kerusi roda tiga lawan tiga.
Mengulas mengenai ketiadaan sukan utama negara tersebut pada edisi Komanwel kali ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerima keputusan Glasgow itu dan memahami usaha menjadikan Sukan Komanwel 2026 berdaya maju dari segi kewangan.
Pada Selasa, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) secara rasmi mengesahkan Glasgow sebagai tuan rumah dan menjadikan ia edisi kedua dianjurkan Scotland selepas edisi 2024.
Sebelum ini, Malaysia juga pernah ditawarkan menjadi tuan rumah edisi 2026 itu tetapi membuat keputusan menolak tawaran tersebut.