KUALA LUMPUR, 8 NOVEMBER – Sheikh Farouk Sheikh Mohamed telah dilantik secara rasmi sebagai penasihat baru bagi Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), berkuat kuasa pada 1 November 2024. Perlantikan ini dianggap signifikan dan tepat pada masanya untuk mengukuhkan jenama MSDeaf dalam menerajui pembangunan sukan bagi golongan orang pekak di Malaysia.
Sheikh Farouk merupakan tokoh yang tidak asing dalam dunia korporat Malaysia. Beliau pernah memimpin syarikat korporat milik Jepun, AEON BIG (M) Sdn. Bhd., sebagai Pengarah Urusan. Pengalaman beliau di syarikat tersebut telah memberikannya wawasan mendalam dalam pengurusan dan pembangunan perniagaan serta memperkukuh hubungan dengan pelbagai pihak. Sheikh Farouk mempunyai jaringan yang luas, bukan hanya dengan pihak kerajaan Malaysia, tetapi juga dengan rakan-rakan dalam kalangan korporat serta badan-badan sukan kebangsaan di Malaysia.
Komitmen Sheikh Farouk terhadap sukan untuk golongan orang pekak juga dapat dilihat melalui sokongan beliau dalam temasya Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) XXI 2023 yang berlangsung di Kuala Lumpur. Di bawah kepimpinan beliau, AEON BIG (M) Sdn. Bhd. tampil sebagai penaja utama bagi temasya tersebut. Penglibatan ini bukan sahaja menonjolkan komitmen beliau terhadap pembangunan sukan orang pekak tetapi juga memperlihatkan keupayaannya dalam menjalin kerjasama antara sektor korporat dan badan-badan sukan untuk tujuan yang mulia.
Dengan pengalaman dan komitmen yang ditunjukkan, MSDeaf yakin perlantikan Sheikh Farouk sebagai penasihat merupakan langkah strategik yang akan membantu MSDeaf dalam memperluas visinya untuk menjadi badan utama yang memperjuangkan pembangunan dan kemajuan sukan orang pekak di Malaysia. Kehadiran beliau dijangka mampu memperkukuhkan usaha MSDeaf untuk meningkatkan kesedaran serta sokongan bagi atlet orang pekak, sekali gus membuka peluang untuk mereka mencapai kecemerlangan di peringkat nasional mahupun antarabangsa.
MSDeaf dengan penuh hormat mengucapkan selamat datang kepada Sheikh Farouk dan berharap agar beliau akan terus memberi sumbangan yang bermakna kepada persatuan ini demi kemajuan sukan orang pekak di Malaysia.
📸: malaysiandeafsports