KUALA TERENGGANU, 11 NOVEMBER – Sebanyak tujuh rekod baharu berjaya dicatatkan pada hari kedua acara Grand Final Varsity Track & Field (VTF) yang berlangsung di Stadium Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Gong Badak. Kejayaan ini menjadi pencapaian penting dalam edisi ketiga VTF, yang akan melabuhkan tirainya esok. Pencapaian atlet-atlet yang bertanding dilihat sebagai bukti kepada peningkatan prestasi dan kesungguhan mereka dalam bersaing di pentas nasional.
Ketua Penyelaras Kejohanan, Malik Tobias, menyuarakan rasa bangga terhadap prestasi cemerlang yang ditonjolkan para atlet. Menurutnya, rekod-rekod baharu yang berjaya dicipta menggambarkan tahap fokus yang tinggi dan peningkatan ketara dalam beberapa acara yang dipertandingkan.
“Setakat ini, kita telah melihat tujuh rekod baharu dicipta oleh atlet yang bertanding. Ini menunjukkan bahawa terdapat perkembangan dalam beberapa acara, dan atlet kita menunjukkan komitmen yang luar biasa. Semalam sahaja, empat rekod baharu telah dicipta, dan setakat hari ini, tiga lagi rekod berjaya dipecahkan,” kata Malik ketika ditemui pada hari kejohanan.
Menurut Malik, prestasi cemerlang ini turut mencerminkan pentingnya VTF sebagai platform bagi atlet universiti menyerlahkan bakat mereka di peringkat yang lebih tinggi. “Ramai daripada mereka melihat kejohanan ini sebagai peluang terbaik untuk menyerlahkan kemampuan dan mengorak langkah lebih jauh dalam sukan masing-masing,” tambahnya.
Ketika ditanya mengenai tahap persaingan di kejohanan yang melibatkan penyertaan universiti awam dan swasta dari seluruh negara, Malik, yang juga merupakan bekas atlet dekatlon negara, mengakui bahawa persaingan sangat sengit. Beliau berpendapat bahawa kehadiran atlet dari pelbagai universiti, termasuk institusi swasta, telah memeriahkan kejohanan ini dengan persaingan yang mencabar.
“VTF ini memang satu kejohanan yang kompetitif kerana kita melibatkan semua universiti awam dan swasta. Kita lihat beberapa atlet dari universiti swasta telah berjaya melahirkan bakat yang berpotensi dan ada yang mampu mencipta kemenangan dalam acara mereka. Ini satu perkembangan positif kerana ia menunjukkan bahawa sukan di universiti swasta juga semakin meningkat,” ujarnya.
Malik turut menyatakan harapannya agar lebih ramai atlet yang beraksi dalam VTF akan mendapat peluang untuk mewakili negara di masa hadapan. “Setakat ini, lebih 20 atlet dari VTF telah mewakili negara, walaupun ada yang keluar masuk dalam pasukan kebangsaan. Kami sasarkan lebih ramai lagi atlet yang mampu mewakili Malaysia pada kejohanan antarabangsa,” tambahnya lagi.
Antara atlet yang mencatat rekod baharu dalam kejohanan kali ini termasuk Daren James Nair dalam acara 10,000 meter, Nurul Ashikin Abas dalam lompat jauh, Mandy Goh Li dalam 400 meter lari berpagar, Wan Muhamad Al Hafiz Wan Mohamed Kozani dalam 400 meter lari berpagar, Hizillawanty Jamain dalam acara 1,500 meter, Ng Jin Xuan dalam acara rejam lembing, serta kuartet 4×100 meter dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan institusi masing-masing, tetapi juga menjadi bukti bahawa kejohanan seperti VTF dapat memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat sukan di Malaysia. Dengan adanya platform seperti ini, atlet muda dapat mengasah kemahiran dan membina keyakinan untuk melangkah ke peringkat antarabangsa.
📸: Facebook Sukan IPT