KUALA LUMPUR, 18 NOVEMBER – Soh Wai Ching, Juara Dunia dari Malaysia, yang juga merupakan Pendaki Menara No. 1 Dunia ketika ini, memenangi Perlumbaan Mendaki Menara Hangzhou 2024 dengan catatan masa 8 minit 22 saat!
Dengan 150 pertandingan Mendaki Menara, beliau telah memenangi sebanyak 107 pertandingan, memberikan kadar kemenangan kerjaya sebanyak 71.33%. Daripada 107 kemenangan tersebut, beliau berjaya mencatatkan kadar memecahkan rekod sebanyak 70.09%.
Sebelum perlumbaan dimulakan, Wai Ching telah dipilih dan dijemput untuk mewakili semua peserta memberikan ucapan. Ini merupakan tradisi dalam pertandingan sukan di China di mana salah seorang peserta dijemput ke pentas untuk berkongsi pengalaman dan memberikan ucapan inspirasi kepada semua peserta.
Pada tahun lalu, perlumbaan ini diadakan untuk mempromosikan Sukan Asia Hangzhou 2023 yang berlangsung pada musim panas, dan semua pemenang menerima maskot Sukan Asia sebagai hadiah. Kali ini, penganjur memperkenalkan hadiah wang tunai tambahan untuk pemecah rekod sebagai dorongan untuk melihat rekod baru dicatatkan dalam pertandingan ini.
Juara akan menerima hadiah wang sebanyak 2400 RMB, Naib Juara: 1600 RMB, dan Tempat Ketiga: 800 RMB. Bonus Rekod: 3000 RMB (untuk seorang sahaja).
Sebanyak 800 peserta berkumpul dan mengambil bahagian dalam Perlumbaan Mendaki Menara Hangzhou ini, yang mempunyai kategori Lelaki Terbuka, Wanita Terbuka, dan Keluarga.
Peserta elit dilepaskan pada pukul 8.30 pagi selepas ucapan daripada penaja dan Wai Ching. Semua peserta perlu mendaki sejumlah 60 tingkat, 1647 anak tangga, dengan kenaikan ketinggian sebanyak 250m, sehingga ke helipad di Menara Raffles 2. Semua peserta kemudiannya akan diberi ganjaran dengan pemandangan indah Hangzhou Skyline dari helipad tersebut.
Sasaran Wai Ching dalam acara ini adalah untuk memecahkan Rekod Kursus dengan catatan masa 8 minit 21 saat yang dicatatkannya tahun lalu. Sebelum perlumbaan, beliau yakin dan tahu dengan keadaannya, dia akan berjaya memecahkan rekod tersebut.
Disebabkan isu teknikal, Wai Ching hanya berjaya menyelesaikan pendakian 60 tingkat dengan masa 8 minit 22 saat. Penganjur meletakkan permaidani masa permulaan di kawasan pelepasan, bukannya di hadapan tangga seperti tahun lalu. Akibat perubahan ini, Wai Ching kehilangan 6 saat, yang menyebabkan beliau gagal memecahkan rekod kursus.