Safiqah Nabilah

CHERRY YEO KINI NOMBOR DUA DUNIA

CHERRY YEO KINI NOMBOR DUA DUNIA

November 21, 2024 7:29 am

KUALA LUMPUR, 21 November – Pasukan sukan tarian negara mencatat kejayaan gemilang apabila merangkul satu pingat emas pada kejohanan Terbuka Macedonia 2024 yang berlangsung Isnin lepas. Pencapaian ini membuktikan kemampuan atlet negara bersaing di pentas antarabangsa dalam bidang seni tari.

Menurut Persekutuan Dance Sport Malaysia (MYDF), pingat emas tersebut diperoleh menerusi persembahan cemerlang Cherry Yeo dalam kategori Latin Solo Wanita. Cherry mempamerkan kehebatan dan kehalusan seni tari yang luar biasa, sekaligus berjaya memikat hati barisan juri profesional. Persembahannya yang penuh bertenaga dan sarat dengan emosi menjadikan beliau unggul di kedudukan teratas, meninggalkan pesaing-pesaing lain.

Kejayaan ini turut menyumbang kepada peningkatan positif dalam ranking dunia Cherry. Beliau kini berada di kedudukan kedua dunia dalam kategori Latin Solo Wanita, suatu pencapaian membanggakan yang melonjakkan nama Malaysia di persada sukan tarian antarabangsa.

“Kejayaan pasukan negara ini adalah hasil daripada sokongan padu, dedikasi tinggi, serta bimbingan berterusan daripada jurulatih berpengalaman, Chua Jen Fong dan Evon Chong dari MY DanceSport Academy,” jelas kenyataan yang dikeluarkan MYDF.

Kejohanan yang berlangsung di Macedonia itu menyaksikan penyertaan daripada 22 negara termasuk Malaysia, menjadikannya satu platform berprestij untuk para atlet menonjolkan kebolehan mereka. Kejayaan ini diharap dapat menjadi pemangkin semangat kepada pasukan sukan tarian negara untuk terus mengukir kejayaan pada masa akan datang.

📸: MYDF