KUALA LUMPUR, 4 Disember – Skuad remaja wanita negara disasarkan mencuri mata daripada penyandang juara, India dan China, pada Kejohanan Hoki Piala Remaja Asia 2024 di Al Amarat, Muscat, Oman bermula Sabtu ini. Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama India, China, Bangladesh, dan Thailand, dengan dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir sekaligus layak ke Piala Dunia Remaja Wanita 2025.
Pengendali skuad Young Tigress, Lailin Abu Hassan berkata, pasukannya perlu mencuri mata daripada India dan China serta memastikan kemenangan ke atas Bangladesh dan Thailand untuk mara ke separuh akhir. “Kami berada dalam Kumpulan A yang cukup kuat. Bagaimanapun, kami akan membuat perancangan sebaik mungkin daripada satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya.
Lailin menekankan bahawa perlawanan dengan India dan China akan menjadi cabaran besar, manakala aksi menentang Thailand dan Bangladesh adalah perlawanan wajib menang. Beliau turut mengingatkan para pemain agar tidak memandang rendah mana-mana pasukan bagi memastikan matlamat utama pasukan tercapai.
Semalam, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mengumumkan senarai 20 pemain yang bakal menggalas cabaran di Muscat. Pemain-pemain ini dipilih berdasarkan prestasi mereka dalam beberapa kejohanan seperti Liga Hoki Malaysia, SUKMA Sarawak, dan TNB Piala Tun Abdul Razak. Antara mereka, 11 pernah meraih kap bersama pasukan senior kebangsaan, termasuk 10 pemain yang beraksi di Kejohanan Trofi Juara-Juara Asia baru-baru ini.
📸: Kosmo