Safiqah Nabilah

EXTRA 15 JUTA UNTUK HARIMAU MALAYA

EXTRA 15 JUTA UNTUK HARIMAU MALAYA

January 13, 2025 4:07 am

KUALA LUMPUR, 13 Januari – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan RM30 juta untuk pembangunan sukan bola sepak, dengan RM15 juta dibiayai oleh pihak swasta. Dana ini bertujuan untuk meningkatkan program pembangunan bola sepak, khususnya bagi pasukan Harimau Malaya, dan mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif di kejohanan antarabangsa.

Peruntukan ini juga akan digunakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk memperbaiki pengurusan organisasi, termasuk memastikan sokongan berterusan kepada pemain kebangsaan melalui tenaga pakar dan jurulatih yang dilantik. Selain itu, usaha akan dijalankan untuk menghasilkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya dengan memberi pendedahan kepada skuad bawah 23 negara.

Perdana Menteri berharap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, akan terus memberikan sokongan berterusan berasaskan pencapaian dan pengalamannya dalam industri bola sepak. Pengetahuan baginda dalam pengurusan bola sepak serta hubungan dengan kelab bola sepak antarabangsa diharapkan dapat membantu memajukan Harimau Malaya.

Anwar juga menyatakan bahawa sukan bola sepak amat dekat dengan hati rakyat Malaysia, dan Kerajaan MADANI akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk memperkukuhkan skuad Harimau Malaya, dengan harapan pasukan tersebut dapat mencapai kejayaan di peringkat Asia dan antarabangsa.

#mySukantv