Faris Zolkefli

KLBA SASAR LAHIRKAN LEBIH RAMAI ‘UBI’ BAHARU

KLBA SASAR LAHIRKAN LEBIH RAMAI ‘UBI’ BAHARU

May 3, 2024 8:35 am

KUALA LUMPUR, 3 MEI 2024 – Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) berharap untuk mengulangi pencapaian musim lalu apabila berjaya menarik penyertaan lebih 3,500 peserta pada Kejohanan Badminton Tertutup Kuala Lumpur Jejak Juara 2023.

Bagi edisi kali ini yang dijadualkan berlangsung di Arena Badminton Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Cheras bermula 10 hingga 15 Jun depan, KLBA meletakkan sasaran 2,500 hingga 3,000 peserta akan mengambil bahagian.

Timbalan Presiden KLBA, Mohd. Taupik Hussain berkata, kejohanan itu nanti akan melibatkan beberapa kategori umur seperti bawah 8 tahun, 10 tahun, 12 tahun, 14 tahun, 16 tahun dan 18 tahun.

“Kita sasar seperti tahun lepas di mana kita berjaya mengumpulkan hampir 3,500 orang pemain. Harapan kami kali ini, jika tidak dapat mencapai jumlah tersebut, mungkin kita sasar dalam 2,500 ke 3,000 pemain.

“Kita harus ambil maklum tempoh kejohanan kali ini dipendekkan sedikit sebab sebelum ini kami buat sembilan hari tetapi kali ini lima hari sahaja,” katanya selepas majlis pelancaran kejohanan tersebut di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, semalam.

Turut hadir adalah Presiden KLBA merangkap Timbalan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos.

Para pemenang pada kejohanan itu nanti bakal menerima hadiah berupa pingat, sijil serta hadiah iringan yang disumbangkan oleh barisan penaja.

Sebagai rekod, Projek Jejak Juara merupakan salah satu program ‘blueprint’ KLBA yang mana mempunyai empat elemen utama iaitu ‘Development, Tournament, President Scholarship dan KL International Badminton Academy’.

Sumber Gambar: KLBA

#mySukanTV #BeritaSukan #BeritaTempatan #Badminton #BadmintonMalaysia #KLClosedChampionships2024